Cari Entri Dulu

27 Mei 2011

KENAPA AKU KADANG-KADANG MALAS NAK KELUAR JALAN-JALAN


Sebab ada peristiwa disebalik kemalasan itu.

Aku tak ingat lah bila tapi beberapa tahun dahulu lah. Di zaman aku masih dalam keadaan blur dan lurus.

Al-kisah, 5 orang sekawan berjumpa di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. 2 lelaki 3 perempuan(termasuk aku lah tuh). Yang perempuan tu member kamcing kat mrsm, yang lelaki tuh member sekolah lama.

Sebelum aku tiba di BTS, aku fikir member lelaki tuh nak teman aku dari bus stop dekat rumah aku sampai ke BTS, tapi malangnya dia naik motor dengan member dia. Tanggapan aku salah. Im alone.

Walau pun aku ini gadis lahir di bandar, tapi aku tak familiar dengan bandar ni. Aku jarang keluar. Jadi aku takut nak gerak sorang. Serius takut. Gelak lah. Aku tak kisah.

Akhirnya aku telefon papa di pejabatnya. Nasib baik office papa tak jauh mana. Jadi aku tiba di BTS dengan pertolongan papa. Aah, aku memang manja.

Kawan perempuan aku tu naik monorail.

Aku rasa aktiviti hari tu tengok wayang dan makan je kot. Rasanya lah. Tak ingat.

Lepas tengok wayang kot, kawan perempuan aku tu balik naik monorail, dan kawan laki aku tu pergi surau kot. Entah. Yang penting aku ditinggalkan berseorangan. Aku takut. Aku call kawan lelaki tu tapi dia tak jawab ke hape ha? Dia cakap dia kat surau kot. Tak ingat lah!

Lantas aku call papa, aku cakap aku nak balik dengan papa. Papa suruh aku berjalan sampai KL plaza ke Sungei Wang entah, then papa jemput aku kat situ.

Sampai kat rumah, kawan laki aku tuh nak jumpa aku. Aku jumpa lah dia , dekat-dekat dengan rumah ja. Lepas tuh tak ingat dah.

The end.

Selepas kejadian itu…..

1.       Aku malas nak keluar kalau aku kena pergi seorang dan balik seorang.  Pernah jugak aku keluar sorang naik teksi. Naik bas sorang pun pernah. Tapi itu dulu, sekarang aku dah takde keyakinan dah memandangkan orang gila semakin bertambah.

2.      Sekarang ni kalau balik rumah, aku malas nak keluar. Kalau member ajak keluar pun sekadar nak minum-minum dekat rumah aku ni aku tak kisah, tapi nak ajak keluar tengah bandar aku kena bawak bodyguard la. Kalau bodyguard aku tak available, aku pun tak available.

3.     Aku hanya akan rajin keluar jika ada kenderaan berbumbung sahaja. Aku tak naik motor dengan lelaki kecuali dengan family aku.

4.     Aku akan bertambah malas nak keluar, jika ada orang yang buat aku tak selesa.

5.     Malas nak keluar kalau di beritahu LAST MINUTE.

6.   Kalau takde duit lagi lah malas nak keluar. hehe

Sebenarnya aku lebih gemar duduk di rumah. 


Pendek cerita, jika di Pahang aku tak kesah nak keluar dengan sapa pun dan ke mana pun. Tapi bila kat KL, aku hanya akan hang out dengan certain people dan ikut mood. Mood aku memang kat rumah ja sekarang ni.

Susah nak jumpa lelaki yang betul-betul nak melindungi wanita. Banyak kali dah aku jumpa lelaki yang kurang gentleman. Keciwa tau. Keciwa.

p/s: Mama kata nanti buat pau jadi hantaran. Mama sebenarnya nak bagi kat Encik H tu pau, biar dia rasa, tapi Encik H jauh. 


26 Mei 2011

SELALU NAMPAK KELIBAT ATAU MATA AKU YANG BERMASALAH?

Kelibat: rupa seseorang atau sesuatu yg kelihatan sepintas lalu sahaja, imbasan (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Kalau tak silap aku, pada bulan Mac aku mula rasa macam ni di UMP Kampus Pekan

Blok A, Kolej Kediaman 5, UMP Kampus Pekan


Bilik aku kat kampus bersebelahan dengan toilet, jadi aku memang tak kisah lah nak pergi toilet malam-malam buta atau pagi-pagi buta. Serius. Kalau aku dah berhajat nak buang, aku pergi jugak toilet walaupun ketika itu pukul 4 pagi. 

Tapi aku tak nampak kelibat tu ketika aku membuang la, aku selalu nampak ketika aku cuci mug aku di sinki. Sinki berdekatan dengan pintu masuk/keluar bilik air tuh. Bila aku tengah syok main buih masa cuci cawan tuh, aku macam nampak ada yang lalu tepi aku. Mula-mula aku biar ja. Tapi bila dah habis cuci aku pikir balik, kenapa tak dengar bunyi tapak kasut/selipar pun? Aku panjang kan leher jenguk ke luar bilik air, eh takde orang pun. 

Aku terus cakap, aku silap pandang kot. Dan melupakan.

Keadaan ini berterusan, kadang-kadang sekali toleh macam ada benda, bila toleh balik takde apa pun. Peristiwa ni bukan kat UMP ja, kat rumah pun jadi lagi.

Ada sekali tuh, bila aku pandang ke satu sudut aku nampak macam ada manusia bersaiz kecik, aku paling tempat lain dan aku paling semula ke sudut tu sebab kat rumah ni mana ada budak kecik kecuali teddy buncit tuh (haha).  Macam biasa tiada apa di situ. 

Paling latest semalam. Aku ada kat dapur, aku nampak macam adik aku menuju ke dapur dari ruang tamu. Aku berpaling ke tempat lain dan bercakap, bila aku pusing belakang aku tengah cakap sorang-sorang rupanya dan adik aku ada dalam bilik ketika itu. Terdiam aku semalam.

Mungkin ini mainan minda atau aku salah pandang. Tapi dah kerap sangat tersalah pandang ni. 

Korang rasa aku ini bermasalah ke sebenarnya?

p/s: Lain kali nak buat pau lagi lah. Eksaited bila pau menjadi sebab ini kali pertama aku buat. (of course dengan bantuan mama) 


25 Mei 2011

BEBAL BILA TIBA WAKTU BERFESYEN

Bukan fesyen tudung sahaja.


Semua lah. MIX &MATCH macam mana pun mesti ada yang tak kena. Kadang-kadang rasa diri ini macam fashion victim pun ada. Kesian kan?

Bila aku tengok cara pemakaian orang lain, aku rasa cantik dan sesuai ja diorang pakai macam tu. Cuba aku pakai? JANGAN CUBA.

Aku buat entri ini sekadar nak menyedarkan diri aku sendiri ja. Kalau orang lain nak sedar jugak, you are welcomed bebeh!

Im lost in myself. 

Dah bermacam cara pemakaian aku cuba. Semua aku rasa tak sesuai. Yang aku selesa pakai tshirt lengan panjang and jeans/slack. Tudung yang aku selesa adalah tudung sarung. Tapi, aku suka buat diri aku tak selesa.

Ikut trend badan binasa. (Ayat untuk aku, jangan butthurt ok)

Bila tengok gadis itu pakai macam itu aku nak try, bila tengok dia buat macam tu aku nak try, tapi aku terlupa yang aku sebenarnya sedang menyusahkan diri sendiri hanya kerana mengikut trend. 

Ya, tak salah nak nampak cantik, tapi kalau sampai dah nampak macam 'pathetic', better balik ke diri yang asal. Pakai ikut selesa, bukan ikut nafsu tengok orang lain.

Buat masa ini aku tak banyak tudung sarung yang ikut spesifikasi yang dibenarkan, tudung bawal pun banyak yang jarang, jadi aku akan teruskan lah pakai pashmina mengikut keselesaan dan spesifikasi yang telah ditetapkan dalam Islam. 

Pashmina tuh besar, tapi kalau masih tak dapat cover tang depan tuh aku tak tau lah. 

Apa yang penting sekarang adalah pakai mengikut apa yang telah Allah tetapkan, keselesaan dan kemampuan. 

Orang yang berfesyen tip top ini selalunya ada sumber kewangan yang takkan putus lah dalam masa terdekat ni, mereka mampu memiliki item-item fesyen tersebut. Jadi bagi golongan yang macam aku yang sederhana gitu, kita utamakan lah duit itu untuk benda yang lebih bermakna (makan minum, menabung ke. Aku tak kata yang berfesyen tuh guna duit untuk benda yang tak bermakna.)

Boleh nak beli baju cantek-cantek mahal-mahal tapi jangan sampai tak makan. Lagi satu, bila membeli, ingat lah mereka yang sering meminta sedekah tapi kita buat tak layan tuh, orang yang tinggal kat rumah macam nak roboh tuh. Makan pakai mereka tak tentu, kita pulak asyik membeli kain baju walhal kat rumah almari tuh macam nak pecah dah penuh dengan baju. Duit kita selamba biar mengalir, di akhir nanti baju tuh jadi kain buruk semata-mata. Duit lebur macam tuh ja.

Lagi satu tolong fikir habis habis sebelum membeli. Aku ada sesal sedikit lah beli baju entah apa apa dulu. Sekarang rasa malu nak pakai baju saiz kecik even aku memang keding gini. Jadi baju-baju tuh aku longgok setempat. Tak ke kufur nikmat tuh. Astaghfirullah.. T__T 

Marilah kita sentiasa berpesan-pesan sesama kita ya :)

Jadi diri sendiri - Be yourself

Macam over ja menaip malam ini. Jaga diri semua. Jangan lupa pada pencipta kita. 

Assalamualaikum.

p/s: Ahad ini akan ke Bandar Baru Bangi dengan berbaju kurung. Senior kahwin. *jelez*


12 Mei 2011

MELUAT DENGAN FENOMENA FESYEN BERTUDUNG?

Aku tahu sebabnya. Dan kerana itulah mereka yang tak bersalah turut sama merasa kesan itu. Aku lah tuh. #EhYeke.


Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Walhal ada saja yang pakai elok dan rapi, tetapi terkena jua. 

Jadi aku nak cuba lah bagitahu perspektif aku berkenaan dengan fesyen yang kurang digemari oleh sesetengah pihak. 

Kreatif wanita zaman kini bergaya kan. Warna warni. Rambu ramba. Aksesori yang pelbagai. Pin yang cute. Cekak pun ada! Molek sungguh lah kalau combine semua. Tapi kita kena ingat bahawa Islam mengajar kita supaya bersederhana. 

Cuba lah kita semak diri kita balik. (bukan samak baby baby). Kita beli cermin bukan sekadar nak tengok ada cili ka sayur ka di celah gigi. Kita tengok cermin untuk pastikan tiada yang salah. Nak harap kawan tegur, payah sikit. Kalau anon tegur, butthurt pulak kan. Kalau bulih tengok lah cermin yang besaq, yang cover whole body. Baru nampak kalau kalau ada yang pelik dan tak berapa nak betul.

Sambung pasal cermin. 

Kalau dah habis mengaplikasi kan fesyen bertudung yang dipelajari itu, cuba tengok cermin balik. Apa betul fesyen yang korang gayakan? 

Tutup dada tak? Tutup rambut habis-habis tak? Tutup leher tak? Sanggul terover ke tak? Pendek kata
tutup aurat tak?

Ada pihak yang panas hati sebab ada diantara kita (gadis/wanita) ini pakai tudung tapi tak ikut syariat Islam. Nampak dada, tambahan pula baju tu saiz kanak-kanak, dasat tuh. Apa lah salahnya beli tudung/selendang besar sikit so dapat cover kawasan itu? 

Pelis, jangan lah duk ikat rambut itu tinggi-tinggi. Sila elakkan sanggul palsu juga ya. Bersyukur lah dengan apa yang ada. 

Gadis/wanita yang suka berfesyen mesti memiliki duit yang lebih banyak dari aku kan? (duit aku dalam wallet dan dalam bank tak banyak, siyes) Jadi apa salah nya beli kain tudung yang berkualiti dan tebal sikit. Kain jarang-jarang itu patut buat langsir ja.

Cuaca di Malaysia panas? Kalau panas dunia pun kita tak mampu nak tahan, macam mana kita nak menghadapi nasib kita di padang mahsyar nanti. Panas di sana lebih dahsyat. Rasa macam matahari itu sejengkal dari kepala kita. 

Hah lagi satu. cover cover lah leher tu ye. 

Apa lagi yang sebab yang buat orang meluat? Sebab pelik ka? Tak cukup kukuh. Tiada yang salah menjadi pelik selagi ia tak mengganggu hidup sesiapa atau menyalahi apa-apa.

Berlebihan? mungkin. 

Apa-apa pun, kalau kita ikut cara yang betul, hidup kita akan aman, jika tak aman juga, tandanya Allah nak uji. Kita hadapi lah ujian itu dengan redha. 

Anyway, saja nak tunjuk muka-muka yang aku admire. 

simple and nice


Of coz aku admire cara mereka bertudung. Dan sikap konsisten diorang. Tu aje.

p/s: Mungkin mereka tahu aku berkecil hati semalam. Tapi kini aku sudah kembali senyum. :) 

11 Mei 2011

KECIK HATI SIKIT

Mudah sungguh hati ini berkecil.



Sudah aku ketahui bahawasanya niat mereka sekadar bergurau. Tapi. Kenapa aku begitu berkecil hati dengan gurauan itu? Mungkin itu gurauan sinis. Sinis yang pedih. 

Basah sebentar mata ku dalam kelam. Saja aku ke sudut hitam, sebak ini harus ku lepaskan. Tapi semua itu ada batas nya. Tak boleh lama-lama, orang akan tahu, aku pula akan malu. Lagi kan tidak banyak sudut hitam di rumah ini, jadi aku tamatkan ketika tangan ku sibuk melangsaikan kerja anak dara. 



Bukan sahaja dengan air mata aku ceraikan sebak ini, aku menghadap kegemaran aku bersama dengan saudara seiras muka ku. Aku ketawa. Akhirnya. Plants vs Zombies straight away changed my mood. 


Namun, tak lama. Bila aku kenang, aku mula sebak. Argh. 

Jika aku mampu elak kan, aku elakkan. Namun aku sudah pun terjebak. Dan aku minta kalian menyelamatkan aku sebelum ianya menjadi satu perkara yang sia-sia. 

Aku tahu kalian tidak pernah menyinggah halaman kata hati aku ini. Namun begitu, ingin aku coretkan bahawa aku tak mampu mengungkap bicara hati ini terhadap kalian. Hanya satu yang aku mampu, memaparkan hasil contengan aku disini.

Aku harap kalian akan mengerti coretan ini dan niat dihati yang sentiasa inginkan yang halal.



p/s: Allah sentiasa menduga hambaNYA. Itulah kehidupan. Penuh duri halus dan kasar. Cuma harus diingat, jangan sesekali putus asa dengan Allah. 

10 Mei 2011

KEPADA PARA TUTOR (SI GADIS MUSLIM) YANG MEMBUAT VIDEO TUTORIAL CARA MEMAKAI SELENDANG ATAU YANG SEWAKTU DENGAN NYA.

Kelmarin mata aku kuat. Tak nak tidur. Degil. Jadi dengan rajen aku browse lah tutorial shawl. Banyak dan macam-macam aku jumpa. Ada yang 'pretty awesome' , ada yang boring, ada yang tak sempat habis buffer aku terus klik pangkah.

Tutorial shawl ini datang dengan pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk gambar, ada yang berbentuk slides dan ada yang berbentuk video bisu, video bebelan, video bualan dan memacam lagi lah. Oleh sebab berukband ini laju dikala malam buta, aku browse lah tutorial video.

Namun ada sedikit lah yang aku nak highlight disini. Eh, ini bukan entri provok tau. Ini sesi luahan rasa. Hari tuh dah terluah dah dekat twitter, sekarang nak luah panjang sedikit.

1. SILA JAGA AURAT ANDA.

Mungkin ada yang lupa ketika buat video itu. Dia lupa nak tutup habis anggota badan nya seperti menutup habis ketika hendak bersolat. Dia mungkin terlupa yang dia kan memuat naik video itu dan bagi satu dunia tengok. Dia mungkin lupa yang lelaki juga boleh tengok video tersebut. Atau, dia mungkin dah terbiasa dengan situasi leher dan lengan di nampak kan dengan sengaja.

Pelis GADIS MUSLIM, hati-hati sebelum memuat naik video tersebut. Kita kena ingat setiap amalan kita walau sekecil zarah akan di hitung kelak. Semak betul-betul video tersebut. Bila dah memuat naik, ada yang memuat turun, meski anda dah delete, tapi mereka yang dah download sudah memiliki nya. SO BEWARE.

Sudah tentu lah anda buat video tersebut di rumah atau di bilik yang mempunyai sistem pengudaraan yang bagus kan? So apa salah nya bertutup yang patut.


2. STRAIGHT TO THE POINT.

Orang seperti aku ini sedang mencari cara yang sesuai dan mudah di pakai. Jadi aku sangat lah berharap video yang akan aku tonton itu akan beri sedikit ilham lah. Walau aku ini bukan golongan yang up to date pasal fashion ini, tapi aku ada perasaan ingin mencuba.

Namun aku kecewa lah apabila masa aku dibazirkan dengan mukadimah yang sangat panjang. Internet di Mesia ini tidak selaju seperti internet di Jepun (info dari lecturer yang study di Jepun). Jadi, setiap masa itu berharga lebih lebih lagi pada mereka yang pakai berukband yang limited.

Jika anda berkeinginan untuk bercerita tentang sejarah hidup sebelum memulakan tutorial, apa kata tajuk video itu di ubah supaya orang macam aku ini tidak tertipu. Okay?


3. PREPARED ATAU EDIT MANA YANG PATUT.

Point ini sama sahaja macam point diatas cuma ini bukan pasal mukadimah.

Kadang-kadang aku nampak cik tutor itu macam lost di tengah jalan. Macam dia pun tak tau apa dia buat. Kadang-kadang itu nampak macam konpius. Mungkin aku pun akan jadi macam itu ketika buat video kan. Nervous. Wanted the best for the audience. Tapi bila rasa ada scene yang macam tak perlu itu just edit lah. Bukan mintak edit dasat-dasat. Edit bagi pendek ja.


Ok done. 3 point sahaja lah aku nak ketengahkan. Sekali lagi, ini bukan entri provok. Sekadar teguran dan pendapat. Mungkin ada yang kata, itu video dia suka hati makbapaktiriangkatjiran dia lah kan. Ok. Aku mengaku itu salah aku lah pergi tengok video dia. Tapi kalau tiada yang tengok, tiada lah yang menegur, bila tiada yang menegur, selama nya lah dia takkan sedar kesilapan dia. Aku sayang saudara seagama ku, itu sebab aku tegur. :)




p/s: Encik H, bila kita nak kawen yek? Jelez lah dengan kak Nailah Azman. hehe

07 Mei 2011

ADA ORANG SUKA BUAT ENTRI MENGUTUK DAN PROVOKASI

Condemn and provoke. Kata kunci entri kali ini.




Aku pun. Aku pun pernah buat. Masa itu zaman remaja berdarah panas gitu. Sikit-sikit nak melenting tak tentu pasal kan. Biasalah. Itulah proses hidup. Sekarang dah tahu berfikir lama-lama sebelum menaip, jadi entri tersebut sudah di minima kan.

Dulu, entri seperti inilah genre penulisan aku. Kebanyakan nya lah. Yalah. Segala yang tak mampu aku nak luahkan pakai mulut aku pakai jari. Main taram ja menaip ikut nafsu. Tak pikir apa dah. Janji 'mangsa' tu baca dah 'terasa'. Tapi sekarang dah sedar dah, tak baik menyakitkan hati saudara kita yang lain. Jadi aku tersangat lah menjaga tatasusila penulisan from now onwards. 

Aku minta maaf lah kepada 'mangsa-mangsa' tersebut. Banyak dah hati yang aku toreh-toreh. Tak payah pakai pisau, guna jari pun boleh. 


Kepuasan setelah buat entri sebegini sekejap ja bagi aku sebab aku ini jenis orang yang mengambil kira perasaan orang lain. Lepas dah publish untuk beberapa jam aku akan pikir balik, betul ke apa aku buat ni?

Bila aku fikir balik, nak provoke orang bulih, tapi jangan lah dibuat hobi. Bila selalu sangat kita provoke dan condemn, orang akan cap, cop, pangkah kita sebagai Yang Mulia Si Terlalu Bagus. Macam orang lain ja yang selalu buat salah, dan kitalah pemerhati yang hebat. Takmo macam tuh........

Lagi satu, susun ayat bagi lawa la. Jangan sokmo kau carut-carut dalam entri kau. Tak sodap mato memandang nye haa. Cuba buat ayat yang bagi sejuk hati orang baca dan akan angguk-angguk sambil sapu muka. Kan molek tuh.

Ada sekali tuh, aku baca entri provokasi terhadap blogger tuutt itu. Terus aku tak suka kat blogger tuutt tuh walhal dia tak buat salah pun dengan aku. Dan mungkin dia mangsa fitnah semata-mata. Nampak tak? Tak pasal-pasal ja penulis tuh buat aku tak suka kat orang yang aku tak kenal tuh. Dan entah berapa orang dah yang tak suka kat blogger tutt tuh gara-gara entri dia. Jadi hati-hati lah ye. Kita jaga aib orang di dunia, nanti Allah jaga aib kita di akhirat.

Apa kaitan dengan aib pulak? Yalah, sudah tentu aku tak suka kat blogger tuutt tuh kerana sikap atau tingkah laku dia kan? Dalam kata lain, penulis itu dah mendedahkan aib blogger tuutt tuh. Bayangkan berapa banyak saham dosa yang dia kumpul gara-gara penulisan provokasi dia itu. Hmm. Hati-hati. Setiap tingkah laku kita dihitung di akhirat kelak.

Marilah saling sayang menyayangi. Toksah gaduh naa.. :)


p/s: Nak bawak Encik H jumpa mama minggu depan. Kalau boleh dengan papa sekali. :)

06 Mei 2011

MARI SENTIASA RINDU DAN INGAT PADA ALLAH S.W.T (PERISTIWA PADA PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER)

Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.



Allah tak pernah lupa pada hamba Nya. Walau sesaat, Dia tak pernah lupa pada ciptaan Nya. Kali ini aku ingin kongsikan pengalaman aku semasa final exam yang lepas.

Rabu, Khamis dan Jumaat. Satu hari satu paper lepas itu tamat semester 4. Tiada gap. Berterusan dari Rabu sehingga Jumaat. Namun aku bersyukur kerana keadaan aku jauh lebih baik dari pelajar jurusan kimia yang berderet paper nya dari Isnin sehingga Jumaat kalau tak silap.

Waktu-waktu seperti ini lah mental kita mengalami sedikit gangguan terutamanya stress. Mana tak stress pelajaran selama 1 semeter harus di khatam dalam jangka masa 1 malam. Gila kan kehidupan sebagai pelajar. Crazy but fun and its once in a life. Bila stress jangan ditambah stress tuh. Rehat kan minda. Aku tonton Running Man. hehe

Kita masuk terus kepada motif entry ini. Setiap kali arahan mula menjawab dikeluarkan, aku akan selak kertas soalan sehingga ke halaman terakhir. Selak dan catit apa yang singgah di kepala. Tika aku terlihat benda asing (topik yang aku ingat-ingat lupa) aku terus selak ke halaman lain. Jangan buang masa.

Semasa mula menjawab, acap kali hati aku menjerit "Tolong aku Ya Allah". Tak henti-henti.

Bila sampai ke soalan buntu, berulang kali aku memohon "Tolong aku Ya Allah, berilah aku petunjuk walau dengan apa cara sekalipun". Alhamdulillah, Allah dengar doa ku.



Ketika paper Numerical Methods & Statistics, aku terlupa akan formula untuk soalan itu, lantas Allah membuat ku menyelak halaman senarai formula berulang kali sehingga tiba 10 minit terakhir. Alhamdulillah, formula yang aku gunakan adalah betul seperti yang tercatit di senarai formula. Begitu banyak formula sehingga aku tidak nampak formula tersebut. Alhamdulillah syukur.

Ketika paper Analog Electronics 2, aku terlupa sungguh cara menjawab soalan tersebut, namun Allah datangkan hidayah di saat-saat akhir.

Nah, lihat bukti Allah sayangkan hambaNya walau hamba Nya ini banyak melakukan khilaf secara sengaja dan tidak sengaja. Pohon diampunkan kesilapan ku wahai Allah yang Maha Pengampun.

Jika Allah tidak sayang, kita tidak akan dapat hidup walau sesaat. Sentiasa ingat, kita hidup atas kasih sayang Allah. Oleh itu, jangan sesekali melupakan Allah.


p/s: kakak harap papa dan mama sentiasa kuat mengharungi kehidupan ini. Be strong. I love both of you so much! Semoga segala urusan dipermudahkan.